Thursday, January 27, 2011

Allah is Within Us!!




Salam. Alhamdulillah, seperti biasa, saya diberi kesihatan, rahmat dan kebaikan oleh Allah untuk menghadirkan diri di sebuah kelas usrah, kelolaan seorang sahabat (semoga di dalam rahmat Allah selalu).


Seronok dan sayu apabila saya mendengarkan bait-bait hadis yang dibacakan oleh Puan Anfaal ketika di kelas usrah semalam.
“Rasulullah saw. bersabda: Allah Taala berfirman: Aku sesuai dengan persangkaan hambaKu terhadapKu dan Aku selalu bersamanya ketika dia mengingatKu. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, maka Aku pun akan mengingatinya dalam diriKu. Apabila dia mengingatiKu di dalam suatu jamaah manusia, maka Aku pun akan mengingatinya di dalam suatu kumpulan makhluk yang lebih baik dari mereka. Apabila dia mendekatiKu sejengkal, maka Aku akan mendekatinya sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, maka Aku akan mendekatinya sedepa. Dan apabila dia datang kepadaKu dengan berjalan, maka Aku akan datang kepadanya dengan berlari.” - riwayat Abu Hurairah RA
Mulianya Allah itu! Dialah yang telah menciptakan kita, memberikan rahmat dan kasih sayangNya, kemudian tidak sombong pula dengan hambaNya! Ya Allah! Pemurahnya diriMu!


Lihatlah petikan dari hadis di atas.
1 - Apabila kita mengingati Allah, Allah juga mengingati kita
2 - Apabila kita mengingatiNya di dalam sekumpulan manusia, Allah akan mengingati kita di hadapan makhluk yang lebih baik (contoh: malaikat)
3 - Apabila kita mendekatiNya sehasta, Dia mendekati kita sedepa! Subhanallah!
4 - Apabila kita berjalan untuk mendekatiNya, Dia berlari ke arah kita! Rahmatnya diriMu, Ya Allah!


Apabila Puan Anfaal Saari membacakan hadis ini, saya terasa sangat gembira! Gembira kerana Allah itu lebih 'advance', lebih cepat dan pantas untuk mendekati kita, lebih dari apa yang kita lakukan kepadaNya. Tetapi dalam masa yang sama, saya juga sedih. Kerana, apabila kita tidak memahami konsep ini, kita ingkar dengan suruhanNya dan makin mendekati laranganNya.


Siang tadi di Wanita Hari Ini, rancangan itu mengupas topik 'Escort Girl'. Ada di antara panel yang hadir bersikap lembut hati, mengajak orang awam agar tidak sewenang-wenangnya mencemuh golongan sebegini. Niatnya baik, tetapi, pendekatan untuk mengeluarkan golongan ini dari aktiviti maksiat sebegini, bagaimana? Mungkin ada, panel itu lebih mengetahui.


Saya paling tertarik dengan kata-kata Saudara Kamal Affendi, "mungkin mereka memang terdesak dan dipaksa melakukan sebegitu, tetapi persoalannya, setelah 10 tahun, masih terdesakkah?". Apabila 'Tepuk Dada, Tanya Selera', itulah jawapan yang akan diberikan. "Mahu mencari nafkah", "terpaksa", "tiada cara lain". Tetapi jika mereka 'Tepuk Dada, Tanya Iman', pasti bukan itu jawapan yang diberikan.


Dengan penuh keyakinan kepada Allah, Tuhan yang telah menciptakan setiap satu perkara di dunia dan akhirat, dari sekecil-kecil perkara, sehingga ke sebesar-besar makhluk, pastinya Allah lebih mengetahui apa yang baik dan apa yang buruk buat kita.


Jika Escort Girl itu 'Tepuk Dada, Tanya Iman', pastinya iman akan berkata "Yakinlah kepada Allah. Yakinlah kepada rezeki yang akan diberikan Allah. Yakinlah bahawa jika Allah mengkehendaki kamu miskin, maka itulah yang terbaik buatmu. Yakinlah jika Allah mahukan kamu susah, maka itulah yang paling mudah buatmu".
Maka, pastinya dengan mudah dia akan berkatakan TIDAK untuk menjalani kehidupan di dalam maksiat. Bukan sekadar escort girl sahaja, tetapi untuk sesiapa pun di luar sana. Untuk diri saya juga!


Ya, menulis sahaja memang senang. Tetapi, untuk hidup susah, memanglah payah. Namapun hidup susah, mestilah SUSAH!


Apabila kita hanya berfikiran sempit, hanya memikirkan untuk 'survival' di dunia sahaja, itulah gambaran yang kita perolehi 'SUSAH!'. Bilamana minda boleh menyelami maksud hadis pembukaan di atas, kita akan faham, Allah ada dekat denganku, kerana aku mahu mendekatiNya! Aku susah di dunia, tetapi aku yakin dengan ihsan Allah untuk ke syurgaNya!


Saya bukanlah cendekiawan agama, berkelulusan usuluddin atau sebagainya. Saya hanyalah seorang wanita biasa, yang penuh kelemahan, masih mencari ruang di sana sini untuk memperbaiki diri.


Semoga saya berjaya mendidik anak-anak saya, agar memahami bahawa, percayalah kepada Allah, jangan lakukan perkara haram! Yakinlah bahawa Allah itu mengetahui apa yang terbaik buatmu, biarpun ianya kelihatan seperti kesukaran dan kesusahan. Semoga kita semua di dalam rahmatNya. Semoga kita ikhlas dan istiqamah menuju ke jalanNya. Amin.

No comments:

Post a Comment

try2

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...